KUCHING: Kerajaan Persekutuan akan berusaha memuktamadkan formula peruntukan khas kepada Kerajaan Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata di bawah MA63, Sarawak asalnya menerima peruntukan itu sebanyak RM16 juta manakala Sabah sebanyak RM25 juta dan sepatutnya ini dikaji setiap lima tahun tetapi ini tidak berlaku.
"Selepas ini, kita akan muktamadkan formulanya dan berharap dengan adanya formula itu, akan lebih jelas apa yang perlu diperuntukkan secara tahunan kepada Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan buat Komuniti Tiong Hua (Warga Emas & OKU) Kawasan Sungai Tengah Matang sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan SUPP, Jalan Sungai Tengah, di sini.
Fadillah berkata sebelum ini Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan bahawa formula itu berdasarkan keadaan ekonomi dan kewangan negara ini dan sekiranya baik maka jumlah peruntukan itu juga akan lebih.
"Kalau senang sama senang, susah sama susah, itu prinsip kita Sarawak perjuangkan," tambahnya.
Selain itu, Fadillah berkata walaupun formulanya belum dimuktamad lagi tetapi secara prinsip Kerajaan Persekutuan sudah bersetuju untuk memberi Sarawak RM300 juta dan Sabah RM260 juta tiap tahun.
Gambar: Fadillah Yusof
Sumber dari : Jiwa Bakti